Pelajar Sekolah Menengah Al-Itqan Pulau Pinang telah melakar pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila wakil pelajarnya berjaya merangkul kedudukan kelima dalam dua kategori berbeza sempena International Short Video Open Carnival 2026 – Uniformed Bodies Teams yang berlangsung dari 1 Julai hingga 15 Ogos 2026.

Kejayaan tersebut diraih menerusi kategori Gajet Kreatif (Sekolah Menengah Lelaki) yang diwakili oleh Muhammad Hakim bin Yazid dan Muhammad Rais Edrian bin Azmi di bawah bimbingan Muallim Muhammad Ridzuan bin Iqbal.

Manakala bagi kategori Jahitan (Sekolah Menengah Perempuan), kedudukan kelima telah disandang oleh ‘Aisyah Siddiqah binti Aidiahmad melalui bimbingan Muallimah Zuraida binti Mohtar.

Pihak pengurusan sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan guru pembimbing atas segala komitmen dan dedikasi yang dicurahkan, di samping menzahirkan ucapan syabas kepada semua peserta lain yang turut mengambil bahagian dalam acara Masakan Kreatif, Reka Cipta, Gubahan Buah, dan Tempur Tanpa Senjata.

Segala usaha, keberanian, dan pengalaman berharga ini diharap dapat menjadi pembakar semangat buat seluruh warga sekolah untuk terus melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif pada masa hadapan.