Wakil pelajar Sekolah Menengah Al-Itqan Pulau Pinang terus melakar kecemerlangan apabila berjaya meraih pelbagai kedudukan dalam Pertandingan Hafazan Al-Quran dan Azan sempena Ihtifal Maulidur Rasul 1448H/2026 anjuran Masjid Jamek Kampung Binjai, Bayan Lepas pada Ahad, 30 Ogos 2026. Program ini membawa tema “Melahirkan Generasi Rabbani, Menghidupkan Sunnah Menyemarak Cinta Rasulullah”

Bagi Pertandingan Hafazan Al-Quran, ‘Aisyah Siddiqah binti Aidiahmad telah berjaya merangkul tempat kedua, diikuti oleh Nur Jamia Imani binti Ismail di tempat ketiga dan Nur’Ilyana binti Sazani di tempat keempat. Sementara itu, Mohamad Hafis bin Mohd Riduan telah dinobatkan di tempat kelima bagi Pertandingan Azan.

Kemuncak majlis telah diserikan dengan acara penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid.

Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua murabbi, khususnya guru pembimbing peserta hafazan iaitu Muallimah Nurhayati binti Othman atas bimbingan, kesabaran, dan sokongan berterusan dalam mempersiapkan para pelajar.

Kejayaan ini diharap menjadi pembakar semangat buat seluruh anak-anak Al-Itqan untuk terus mencintai al-Quran, menghayati sunnah, dan berterusan melangkah ke hadapan berbekalkan ilmu, iman, dan amal.