Enam orang pelajar Sekolah Menengah Al-Itqan telah mewakili sekolah dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen Karnival KO-Akademik Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama SABK/SMAR peringkat negeri Pulau Pinang 2026 yang berlangsung pada Isnin, 4 Mei 2026 yang lalu. Penyertaan ini merupakan satu usaha berterusan pihak sekolah dalam memperkasa kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Pasukan bahas sekolah dianggotai oleh ’Alyaa Nuur Iman binti Idris, Muhammad Hakim bin Yazid, Nurina Syakina binti Mohd Rohelmi, Umairah Huda binti Mohd Sidir, ’Aisyah Siddiqah binti Aidiahmad serta Nur Nisrina binti Abdul Hamid. Mereka telah dibimbing oleh dua orang jurulatih, iaitu Muallimah Nurhayati binti Othman dan Muallimah Siti Norafiza binti Faisal Tiong.
Sepanjang pertandingan, para pelajar menunjukkan keberanian dalam menyuarakan idea, ketajaman dalam menyusun hujah serta keupayaan menggunakan bahasa dengan baik. Penglibatan dalam pertandingan ini bukan sahaja memberi peluang untuk bersaing, malah menjadi platform penting dalam membina keyakinan diri dan memupuk adab dalam berbeza pandangan.
Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan jurulatih atas komitmen yang diberikan sepanjang persediaan dan pertandingan berlangsung. Diharapkan pengalaman ini dapat menjadi asas untuk terus meningkatkan prestasi pada masa hadapan.
Recent Comments