Pusat Pendidikan Al-Itqan menerima kunjungan hormat daripada delegasi 𝗔𝘀𝘀𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗟𝗲𝗮𝗱𝗲𝗿𝘀𝗵𝗶𝗽 𝗔𝗰𝗮𝗱𝗲𝗺𝘆, 𝗧𝗵𝗮𝗶𝗹𝗮𝗻𝗱 yang terdiri daripada kira-kira 33 orang pemuda dan pemudi dari selatan Thailand, bersempena dengan program Jelajah Ukhuwah pada Sabtu, 3 Oktober 2026.
Kunjungan ini bukan sahaja menjadi ruang mengeratkan silaturahim, malah membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan serta membina jaringan strategik dalam bidang pendidikan dan pembangunan generasi.
Rombongan delegasi tiba di pekarangan sekolah sekitar jam 4 petang dan disambut oleh barisan kepimpinan serta perwakilan Pusat Pendidikan Al-Itqan dan IKRAM Barat Daya. Sesi suai kenal dan ta’aruf berlangsung sejurus ketibaan sebelum rombongan dibawa ke Dewan Imam At-Tarmizi bagi meneruskan agenda lawatan.
Acara dimulakan dengan sesi pembentangan khas oleh Pengarah Eksekutif AL-ITQAN, Muallim Muhammad Ikbal, yang berkongsi sejarah penubuhan Pusat Pendidikan Al-Itqan, visi serta aspirasi sekolah dalam melahirkan generasi rabbani. Perkongsian turut menyentuh peranan Pusat Pendidikan Al-Itqan dan jaringan sekolah-sekolah MUSLEH dalam memperkukuh pendidikan Islam serta membina ekosistem pendidikan yang mampu memberi impak lebih luas di peringkat serantau.
Sebagai simbolik jalinan ukhuwah yang terjalin, majlis diteruskan dengan sesi pertukaran cenderahati. Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah (JPS) AL-ITQAN, Dr Aidiahmad, menyampaikan cenderahati kepada wakil delegasi Thailand, Saudara Ma’ruf, sebagai tanda penghargaan dan persahabatan antara kedua-dua pihak.
Pertemuan kemudiannya diakhiri dengan sesi fotografi bersama dan jamuan ringan.
Tepat jam 5.30 petang, delegasi Assalam Thailand berangkat meninggalkan perkarangan sekolah untuk meneruskan agenda jelajah mereka ke destinasi seterusnya, Hidayah Centre Foundation.
Pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al-Itqan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Assalam Leadership Academy atas kesudian memilih Pusat Pendidikan Al-Itqan sebagai salah satu destinasi lawatan.
Penghargaan turut diberikan kepada seluruh warga kerja AL-ITQAN dan semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan ziarah mahabbah ini.
Semoga pertemuan ini menjadi titik mula kepada perkongsian ilmu, pertukaran pengalaman dan kolaborasi yang lebih erat antara kedua-dua pihak pada masa hadapan.
“𝙅𝙖𝙪𝙝 𝙙𝙞 𝙢𝙖𝙩𝙖 𝙠𝙚𝙧𝙖𝙣𝙖 𝙨𝙚𝙢𝙥𝙖𝙙𝙖𝙣, 𝙙𝙚𝙠𝙖𝙩 𝙙𝙞 𝙝𝙖𝙩𝙞 𝙠𝙚𝙧𝙖𝙣𝙖 𝙪𝙠𝙝𝙪𝙬𝙖𝙝.”
Recent Comments