fbpx

22 Mei 2026 – Sekolah Rendah Al-Itqan telah menganjurkan Usrah Gabungan Kali Ke-3 dengan tajuk “Ada Apa Dengan Zulhijjah?” sebagai usaha meningkatkan kefahaman murid tentang kelebihan bulan Zulhijjah serta menggalakkan amalan ibadah dalam kehidupan seharian.

Program ini memberi pendedahan kepada murid bahawa sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah merupakan antara waktu yang paling dicintai oleh Allah SWT untuk melakukan amal soleh. Pengisian diberikan oleh Penolong Kanan Tarbiah, muallim Alghazali yang menekankan bahawa ganjaran amalan pada tempoh ini amat besar, malah berdasarkan hadis Nabi SAW, kelebihannya mampu menandingi pahala jihad di jalan Allah.

Para murid turut didedahkan dengan enam amalan utama yang boleh diamalkan sepanjang awal Zulhijjah, iaitu:

  1. memperbanyakkan solat sunat, bersedekah serta membaca Al-Quran
  2. berpuasa khususnya pada Hari Arafah (9 Zulhijjah)
  3. memperbanyakkan zikir seperti tasbih, tahmid, tahlil dan takbir
  4. memperbanyakkan taubat dan istighfar
  5. mengerjakan ibadah korban bagi yang berkemampuan
  6. mengerjakan ibadah haji dan umrah – khusus buat duyufurrahman yang terpilih ke Baitullah

Program ini diharapkan dapat membentuk kesedaran dalam diri murid untuk merebut peluang beramal pada waktu-waktu istimewa, di samping memupuk sahsiah unggul dan jiwa yang dekat dengan Allah SWT.