fbpx

Bayan Lepas, 3/8/2020. Program Qurban dan Aqiqah diadakan setiap kali perayaan Aidiladha bertujuan memberi peluang kepada masyarakat awam untuk melaksanakan ibadah qurban dan juga aqiqah pada harga yang berpatutan. Ianya adalah bertujuan untuk mendapatkan pahala serta mengambil pengajaran daripada peristiwa ketika Nabi Ibrahim A.S diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S. 


Gambar 1 : Ustaz Nasir (baju merah berkopiah putih) bersama sebahagian lembu-lembu peserta qurban dan aqiqah daripada Pusat Pendidikan Al-Itqan

Pada tahun ini, program Qurban dan Aqiqah bersama Pusat Pendidikan Al-Itqan telah disertai oleh 104 peserta pada tahun ini yang telah menyempurnakan 105 bahagian lembu di Kemboja dan 35 bahagian di Sudan. Walaupun, pandemik Covid-19 telah melanda dunia yang mengakibatkan keterbatasan aktiviti-aktiviti yang melibatkan ramai orang ianya tidak menghalang kemeriahan ibadah qurban dan aqiqah yang dianjurkan oleh Pusat Pendidikan Al-Itqan.

Alhamdulillah…..terima kasih kpd semua team itqan yg menguruskan ibadah qurban tahun ini. Semoga Allah terima segala amalan kita..amin. – Encik Hazim

Pelaksanaan Qurban dan aqiqah diuruskan di Kemboja oleh wakil Al-Itqan iaitu Ustaz Nasir yang telah menyempurnakan 15 ekor lembu daripada proses penyembelihan serta pengagihan daging qurban kepada yang layak. Beliau telah dibantu oleh masyarakat kampung disana. Di Kemboja penguatkuasaan kawalan disebabkan covid-19 masih berjalan dengan menyebabkan sesi persekolahan ditutup, masjid ditutup untuk solat jumaat serta orang ramai dilarang berkumpul. Kebiasaannya seperti tahun lepas, semua lembu qurban akan disembelih di satu tempat iaitu di Madrasah Ustaz Nasir, akan tetapi disebabkan kawalan covid-19, lembu-lembu tersebut akan disembelih di 6 hingga 7 kampung yang berbeza dan Ustaz Nasir akan melakukan sembelihan di setiap kampung tersebut dan kesemua lembu selesai disembelih pada jam 4 petang waktu Malaysia.


Gambar 2 : Wakil Qurban dan Aqiqah di Sudan sedang menyempurnakan penyembelihan qurban keatas 5 ekor lembu daripada peserta Pusat Pendidikan Al-Itqan

Alhamdulillah Prog Qurban Aidil Adha 2020 telah selamat disempurnakan. Jazakallah pihak pengurusan Sek Rendah Al-Itqan dan semua pihak yg terlibat.Semoga kita semua dlm lindungan dan rahmat Allah SWT serta ibadah korban kita diterima oleh Allah SWT. Aamiin -Encik Perdaus-

Kemeriahan suasana di Sudan sama seperti tahun-tahun sebelum ini, wakil Al-Itqan telah diuruskan oleh kumpulan daripada Ustaz Fahmi Bin Abu Bakar di Sudan yang telah menyempurnakan 5 ekor lembu daripada peserta-peserta Pusat Pendidikan Al-Itqan. Segala proses penyembelihan sehinggalah pengagihan daging qurban telah selesai pada 1 ogos 2020.


Gambar 3 : wakil qurban di Kemboja sedang mengagihkan daging qurban di kampung

Program ibadah qurban dan aqiqah Pusat Pendidikan Al-Itqan akan diadakan pada tahun-tahun akan datang di Kemboja dan Sudan. Semoga ibadah qurban diterima oleh Allah Swt. Untuk mendaftar qurban dan aqiqah tahun 2021, layari https://www.alitqan.edu.my/al-itqan-qurban/